5 perkara pasal sebutan yang patut diberi perhatian untuk memberi kesedaran kepada
kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi Muhammad saw pernah
mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:
Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah
menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang
berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat
bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.
Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah.
Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang
terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya
elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan
Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian
begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia
terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia
setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah
umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada
nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya
1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk
memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA).
Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan
Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling
penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan
merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu
perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul
keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
Kita
sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang
memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat
kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan
amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah
tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah
dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau
tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di
akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi.
Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan
hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh
perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang
dengan dosa?
Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan
memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau
membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau
menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri
sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat,
kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh
sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan
kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub
ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita
buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang
mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria')
tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik
(khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri
daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu
sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya
datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. J
adi kita
patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya
mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang
mengurniakan kebaikan itu.
Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan
hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita
menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong
melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan
diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak,
tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat
kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan
diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya
memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk
jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi
jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk,
malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri
kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan
menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam
Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan
sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri
seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila
melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita
walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat
dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk
menjerumuskan kita ke dalam api neraka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment